­

FAKTOR-FAKTOR TERLIBAT DALAM PENULISAN

March 15, 2021


Hello. Kali ini saya ingin berkongsi tentang faktor-faktor penglibatan saya dalam dunia penulisan. Menjadi penulis tidak pernah ada dalam perancangan masa depan saya. Namun, itu takdir yang terbaik pernah Allah berikan kepada saya. Dari awal memang saya ada terlibat dengan penulisan kreatif namun hanya sebagai sebuah tempat untuk berekspresi. Saya hanya bermain dengan karya kreatif yang ringkas seperti puisi, pantun dan cerpen. Sehinggalah saya mula berfikir secara serius jika ingin menjadikan bidang ini sebuah kerjaya. Lalu ia membuka fasa baru dalam hidup saya. 

#ASK: Bagaimana mula berkecimpung dalam dunia penulisan ini? Ada cerita disebaliknya? (Soalan daripada Kelab Pendita under Pusat Seni Budaya UUM)

◦•●LOΌNA●•


FAKTOR PERTAMA: MINAT DAN TEKAD PERIBADI

Diawal perjalanan ini, saya adalah pembaca. Dari sekolah rendah lagi saya sering pergi ke perpustakaan awam setiap minggu. Tidak terlepas, perpustakaan sekolah juga menjadi sasaran saya untuk mencari bahan bacaan. Tidak kira fiksyen atau non fiksyen. Asalkan buku, saya baca. Ketika itu belum ada niat untuk menjadi penulis. Zaman itu syarikat penerbitan juga sedikit dan akses sukar. Maka kurang pendedahan dari kecil.

Namun, walau tidak ada niat untuk menjadi penulis novel, ada suatu perasaan dalam diri saya yang sangat kuat iaitu ingin mengawal cerita (dalam novel). Kadangkala saya akan berfikir tentang kemungkinan jika plot cerita diubah sesuai expectation saya. Tanpa sedar saya telah mengasah kemahiran critical thinking dari kecil.

Ketika di universiti, saya banyak membuat tugasan. Semuanya tentang ilmiah. Banyak membuat kajian dan harus tepat deadline. Tabiat yang satu ini penyumbang kepada disiplin saya dalam menghasilkan karya. Pengaruh itu menjadikan saya penulis karya-karya berat. Setelah serius didalam bidang ini, saya menghadapi tekanan berganda (ketika sedang berada dipertengahan semester). Saat itu adalah memori perjuangan saya untuk belajar sambil bekerja. Benar, ia melelahkan namun tiada hasil tanpa usaha. Saya serius untuk menulis kerana minat membaca telah berkembang menjadi minat untuk menulis novel. Saya tidak berhenti setakat menghasilkan puisi, esei, cerpen dan haiku. Saya mahu lebih daripada itu.


Sedari kecil saya lebih selesa bersendirian. Jadual introvert biasanya hal yang sama dalam aktiviti hariannya iaitu bersendirian. Maka, bidang ini amat sesuai dengan saya yang melakukan segalanya sendiri selagi tidak memerlukan bantuan orang lain. Menulis dan mempromosikan karya bukan masalah bagi saya kerana semuanya dibalik tabir. Walau perlu mengadap kamera untuk promosi virtual, bukanlah masalah besar. Namun, saya tidak menolak untuk bersosial kerana manusia adalah mahluk sosial yang saling memerlukan.

Dari kecil saya hanya menulis sesuatu dalam bentuk diary. Semakin dewasa saya mengubahnya dalam bentuk jurnal supaya lebih professional dan berseni. Malah sudah menjadi kebiasaan ketika membina karya, saya juga membuat catatan. Mungkin lebih teliti daripada persembahan saya dalam novel. Jika ada kesempatan barulah saya menulis di sini atau jika tidak punya masa, sekadar catatan pendek di laman sosial atau di atas sticker note untuk tatapan saya sendiri. 


Ya, saya akui juga bahawa minat menulis ini telah pergi lebih jauh iaitu penulisan menjadi bentuk proses self-healing yang mujarab. Membaca mampu melegakan tekanan. Namun, menulis memberi impak lebih besar. Penulisan adalah satu terapi mandiri bagi saya. Dan ternyata, berkongsi apa yang ada didalam fikiran saya lebih menyenangkan dalam bentuk kreatif. Malah dibaca oleh mereka yang saya tidak kenali. Kenalan rapat pun belum tentu mahu mendengar bicara kita. Siapa yang sanggup membaca/mendengar apa yang kamu ingin katakan tentang segalanya, malah penulis dibayar (membeli buku/langgan subscriber). Paling indah, murninya akan wujud satu pertalian antara penulis dan pembaca yang menyukai, menghargai karya dan diri kamu. Kamu akan rasainya sendiri ketika masanya sudah tiba. 

FAKTOR KEDUA: LINGKUNGAN

Satu hal yang agak sukar untuk dikawal yang ada pada diri saya ialah perasaan ingin tahu. Perasaan itu wujud kerana rasa dahaga kepada pengetahuan. Ditambah lagi segalanya hanya dihujung jari. Walau sedang dalam pandemik pun tidak menjadi masalah kepada saya untuk bekerja tanpa keluar dari rumah. Walau tidak lagi ke perpustakaan awam, saya boleh melakukannya melalui maya. Mencari bahan untuk penulisan lebih mudah. Jika bahan rujukan yang saya cari tidak disediakan secara percuma, saya hanya perlu membeli secara online. Ebook antara pilihan. Buku-buku fizikal juga banyak yang murah. 

Jika sebelum pandemik, selalu saja saya ke karnival. Banyak diskaun diberikan. Biasanya buku-buku preloved menjadi sasaran saya. Tidak terbatas kepada buku ilmiah. Novel-novel antarabangsa juga menjadi rujukan penulisan.


Ini antara faktor saya berasa selesa menjadikan penulisan sebagai sebuah kerjaya. Semakin banyak saya membaca, semakin banyak yang saya boleh tawarkan kepada pembaca. Sedikit sebanyak ada sesuatu yang saya dapat pulangkan semula kepada masyarakat. Hiburan dapat, ilmu juga dapat. Walau tidak diminta, saya berasa bertanggungjawab membantu minda masa depan walau orang mengatakan penulisan kreatif ini hanya aktiviti membuang masa dan angan-angan semata. 

Mungkin mereka belum menemui karya kreatif yang berkualiti diluar sana. Itu tugas pembaca untuk mencari bahan bacaannya sehingga menemui karya sesuai sangkaan mereka. Tugas penulis hanya menulis sesuai tahap pemikirannya. Sakitlah penulis jika dia terpaksa memasukkan berjuta pemikiran dan kehendak pembaca dalam manuskripnya. Jujur saya pernah berada di tahap ini. Mengikut kehendak pembaca tanpa mempertimbangkan diri penulis (kadangkala kritikan nyata bias) dan akhirnya jatuh sakit. Kesannya sehingga hari ini. Penulis harus memiliki kestabilan emosi dan pemikiran yang baik ketika sedang berkarya. Itu sangat mempengaruhi hasil akhir karyanya.



Apabila ingin menulis sebuah novel, pastilah subjek kita adalah manusia. Apa yang ingin kita bicarakan tentang manusia? Hakikat saya tidak boleh menawarkan harta benda maka apa yang saya ada adalah sedikit ilmu untuk dikongsikan. Ketika saya membaca karya orang lain sebelum saya menjadi penulis, mereka tidak tahu seberapa banyak kata-kata mereka telah mengubah corak pemikiran dan hidup saya, seorang manusia.

Maka, saya ingin melakukan hal yang sama. Untuk mencapai matlamat itu, saya harus terlebih dahulu mencari pengetahuan dan mendalami sesuatu dengan baik. Antara yang telah dan sedang saya pelajari ialah psikologi. Tarikkan konflik utama manusia.

FAKTOR KETIGA: KETURUNAN


Saya hanya tahu mak saya menyukai seni. Ketika kecil, dia selalu membantu saya menyiapkan kerja seni. Jika saya memasuki pertandingan melukis pun, dia terlibat sama. Sehinggalah suatu hari, dia bercerita. Ketika dia masih kecil, dia selalu menulis cerita di dalam buku. Menulis menggunakan tangan. Puisi yang ditulis olehnya pernah saya baca. Mungkin bakat mak mengalir kepada saya. Alhamdullilah. Dia inspirasi saya.

FAKTOR KEEMPAT: PENDAPATAN


Bukan semua namun saya percaya tarikkan utama untuk memulai kerjaya ini adalah penulisan mampu mendatangkan pendapatan. Diawal penglibatan pun, saya selalu memasuki pertandingan kerana hadiahnya lumayan. Namun, kerja penulisan harus dilakukan secara konsisten agar hasilnya terus mengalir masuk. 

Syasya de Luna,
3.38 PM

You Might Also Like

0 comments

recent posts

Popular Posts

Featured Post

PRINSIP SYASYA DE LUNA KETIKA BERKARYA

Hello, readers. Ketika sedang membelek laman sosial, ada content creator membuat video yang meminta kita screen shoot quote dan itu akan men...

Subscribe